Oleh: Syed Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Sarang perjudian yang berselindung di sebalik kawasan perkuburan berhampiran parkir di Jalan Banggol dan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, `dibersihkan' Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, semalam.
Operasi memusnahkan kawasan perjudian yang dikatakan beroperasi pada waktu malam itu juga bertujuan untuk membersihkan sekitar perkuburan berkenaan dari semak samun dan sampah sarap yang mencacatkan pemandangan bandaraya.
Kerja-kerja pembersihan bermula seawal jam 8.30 pagi disertai kira-kira 40 pegawai dan kakitangan MBKT dan JHEAT.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, kerajaan negeri amat memandang serius masalah yang dikatakan sudah berlaku sejak sekian lama sekali gus operasi berkenaan memberi kelegaan kepada komuniti setempat yang tidak selesa dan bimbang keselamatan mereka dengan kewujudan aktiviti jenayah seumpama itu.
"Rata-rata komuniti setempat yang hadir memberitahu mereka menunggu operasi ini sejak sekian lama dan alhamdulillah hari ini kerajaan baharu telah melunaskan hasrat membanteras gejala itu.
"Kita akan terus memantau lokasi yang menjadi `sarang ' aktiviti tidak bermoral yang jelas bercanggah dengan undang-undang agama dan negara kita ini dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman di kawasan operasi, semalam.
Turut serta dalam operasi itu, Ahli Majlis MBKT, Khairuddin MohamadKpp penguatkuasaan kita nik zulhaiza ketua operasi gotong royong semalam.
Ahmad berkata, langkah membanteras aktiviti tidak bermoral itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan negeri dan rakyat berada dalam keadaan aman, sejahtera serta patuh kepada undang-undang mahupun syariat Allah SWT.