KUALA TERENGGANU, 7 September - Konsep tawakal sebenar dalam perihal menjaga kesihatan ialah dengan berikhtiar melalui saringan dan pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan apabila memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, konsep berserah diri kepada Allah bulat-bulat adalah salah di sisi Islam dan tidak sepatutnya di amalkan.
Katanya, untuk sembuh dari penyakit setiap orang perlu beikhtiar mencari jalan dengan berjumpa doktor dan makan ubat serta mendengar nasihat mereka.
Menurutnya setiap orang tidak boleh lari dari ditimpa penyakit termasuk Nabi s.a.w. sendiri juga demikian.
"Tinggal lagi bagaimana kita menangani masalah penyakit tersebut sama ada kita menyerah bulat-bulat kepada Allah untuk disembuhkan atau kita berikhtiar berubat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Pharmacy Integrated Community Care di Kampung Kolam, Kuala Ibai di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr Fatimah Muda dan kira-kira 30 peserta dari komuniti setempat.
Sementara itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengalu-alukan program komuniti sebegitu kerana segalanya perlu bermula dengan kesedaran dan diikuti dengan tindakan.
"Saya difahamkan dari program integrasi komuniti yang dilaksanakan oleh Unit Farmasi dan Unit NCD Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu ini, sebanyak 68 peratus peserta mencapai penurunan kawalan kencing manis, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 65 peratus," ujarnya.
Justeru Beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan mengharapkan program itu dapat diperluaskan lagi agar memanfaatkan lebih ramai pesakit.