Sebat Terbuka : Wakil Rakyat Sepakat, Rakyat Sokong

KUALA TERENGGANU, 21 November - Hukuman sebat secara terbuka terhadap pelaku khalwat berulang di Terengganu mendapat sokongan kuat daripada pemimpin negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menyatakan keputusan Mahkamah Syariah itu dilihat sebagai langkah tegas untuk mendidik masyarakat agar mematuhi syariat Islam dan menjauhi perbuatan terlarang.

Jelasnya, tindakan berkenaan dilihat mampu membendung perbuatan khalwat di negeri itu. 

“Pelaku ini telah beberapa kali mengulangi kesalahan yang sama. 

“Hukuman di khalayak ramai ini adalah pengajaran bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga masyarakat secara keseluruhan. 

“Saya berharap agar kes seperti ini tidak lagi berlaku di negeri ini,” tegas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) menyatakan bahawa hukuman sebat ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam. 

“Dalam Islam, hukuman ini bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk memberi kesedaran. 

“Apa yang dilakukan kerajaan negeri berlandaskan sunnah Nabi SAW. 

“Kita mengharapkan masyarakat Islam menerimanya dengan baik dan menjadikannya panduan,” jelasnya sambil menggesa masyarakat untuk merujuk kepada pihak berautoriti jika timbul keraguan.

Bagi ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, turut memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman sebatan terbuka. 

“Hukuman ini sebahagian daripada ajaran Islam, kita perlu menunjukkan kepada masyarakat bahawa perbuatan seperti ini adalah jenayah yang serius. 

“Hukuman terbuka ini juga dapat memberi pengajaran kepada semua agar menjauhi perkara mungkar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor, yang juga ADUN Ladang, menganggap hukuman ini sebagai peringatan untuk semua pihak. 

“Sebatan di khalayak ramai adalah langkah untuk mendidik masyarakat supaya patuh kepada syariat. 

“Kesalahan ini berulang kali berlaku, maka hukuman seperti ini wajar dijalankan. 

“Insya-Allah, kita sama-sama berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” ujarnya.

Dalam nada yang sama, Pengarah Urusetia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin, mengingatkan masyarakat tentang larangan keras dalam Islam terhadap zina dan perkara yang mendekatinya. 

“Dalam isu khalwat ini, kita bukan sekadar menghukum, tetapi juga memberi pemahaman dan kesedaran kepada rakyat supaya menjauhi perbuatan ini. 

“Hukuman ini bukan untuk menakutkan, tetapi untuk mendidik. 

“Sebagai umat Islam, kita perlu elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara terlarang ini,” ujarnya.

Keputusan tegas Mahkamah Syariah Terengganu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menegakkan syariat Islam dan memelihara integriti masyarakat.

Hukuman sebat secara terbuka ini diharapkan menjadi peringatan besar kepada semua agar terus mematuhi ajaran agama dan menjauhi perbuatan yang mencemarkan maruah diri serta keluarga.