KEMAMAN, 24 Disember - Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan projek yang telah diluluskan untuk mengatasi masalah banjir di Pantai Timur khususnya di Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek tersebut mampu menyelesaikan masalah banjir yang kerap menimpa rakyat.
Katanya, ia juga berupaya menjimatkan kos perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung oleh kerajaan Malaysia bagi membantu mangsa banjir setiap kali bencana itu melanda.
"Antara projek yang perlu diberi keutamaan antaranya kalau di Kemaman ini seperti Sungai Tiruan, pembinaan pembentung di Telung Kalong yang peruntukkanya telah diluluskan cuma pelaksanaannya memakan masa begitu lama, jadi saya rasa kena percepatkan perkara ini.
"Kalau kita tidak buat perkara-perkara begini banjir besar akan berterusan serta sukar diuruskan, kalau kita dapat menyelesaikan tebatan banjir, 'culvert', dan sebagainya ia akan dapat mengatasi masalah banjir yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Bencana di Pejabat Daerah Kemaman, di sini semalam.
Tambah beliau setiap agensi di bawah kerajaan persekutuan di negeri ini yang terlibat dengan projek penyelesaian banjir seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu kembali berbincang dengan kementerian masing-masing bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.
"Pada ketika ini ada yang berstatus di peringkat pelaksanaan, telah diluluskan bajet serta masih ada dalam proses.
"Kerajaan negeri berpandangan perlu disegerakan jangan ditunggu, Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan dana-dana khas dan seumpamanya bagi memastikan perkara inj dapat diselesaikan segera untuk kepentingan rakyat," ujarnya lagi.