• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Sekolah di Terengganu Mulakan Pembelajaran Dengan Bacaan Al-Quran

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan Program Al-Quran Di Hati iaitu program bacaan al-Quran oleh guru dan murid sebelum bermula sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Ia merupakan program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menerusi agenda Peneraju Transformasi Pendidikan (PTP) yang menjadikan program tersebut sebagai agenda utama pendidikan Terengganu bagi melahirkan murid yang cintakan kalam Allah.

Majlis pelancaran diadakan di Sekolah Kebangsaan Serada yang telah dipilih sebagai sekolah rintis bagi pelaksanaan program tersebut, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nara Setia; Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail serta Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong.

Sebelum itu, Raja Muda Terengganu turut berkenan melawat murid-murid yang sedang mengikuti kelas al-Quran di sekolah terbabit.

Sementara itu, Jelani dalam ucapannya berkata, program yang bermula tahun lepas itu akan diperkasakan ke seluruh sekolah di Terengganu mulai tahun ini.

“Ia akan membabitkan murid darjah satu hingga enam di 352 buah sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga tiga bagi 154 sekolah menengah.

“Selain membudayakan pembacaan al-Quran pada setiap hari, kita mahu memastikan murid-murid celik al-Quran selepas tamat tahun enam di sekolah rendah,” ujarnya.

Menurutnya, semua warga pendidikan Negeri Terengganu dimohon meneruskan gerak kerja bagi memastikan fokus pengukuran PTP terutama penekanan kepada celik al-Quran dapat direalisasikan. 

“Fokus celik al-Quran ini perlu seiring dengan fokus-fokus lain iaitu, fokus akademik, solat bestari, sahsiah terpuji, kemenjadian kokurikulum, kejituan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan keberkesanan kepimpinan. 

“Insya-allah dengan gerakan berfokus yang kita adakan ini iaitu program al-quran di hati akan mewajahkan hasrat kita bersama bagi melahirkan murid yang cintakan al-Quran,” katanya. 

Mengulas lanjut katanya, program al-Quran di hati dilaksanakan setiap hari persekolahan pada jam 7.30 pagi hingga 7.45 pagi di kelas masing-masing.

“Bacaan alquran akan diketuai oleh murid turus dan diikuti oleh murid-murid lain serta dibimbing oleh dua orang guru bagi setiap kelas, satu muka surat akan dibaca setiap hari beserta terjemahan ayat dan bacaan murid akan direkodkan setiap hari dalam rekod pencapaian al-Quran,” jelasnya.

Jelani berkata, program tersebut diharapkan bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang celik al-Quran, malah dapat melahirkan generasi soleh, pintar, rabbani dan murabbi.