KUALA TERENGGANU, 5 Julai– Sektor pertanian di Terengganu terus membuktikan peranan penting dalam memacu ekonomi apabila merekodkan kadar pertumbuhan yang sangat memberangsangkan sebanyak 4.2 peratus bagi tahun 2025. Perkembangan positif ini sekali gus meletakkan Terengganu sebagai antara negeri pemacu utama kepada prestasi keseluruhan sektor pertanian di peringkat nasional.
Berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara keseluruhannya sektor pertanian kekal menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) Malaysia dengan kadar pertumbuhan 2.2 peratus.
Menariknya, bagi prestasi pertumbuhan merentas negeri dalam sektor berkenaan, Terengganu berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan kedua tertinggi di Malaysia, mengekor rapat di belakang Sarawak.
"Sarawak 4.3%, Terengganu 4.2%, Selangor 4.0%, Kelantan 3.6% dan Pahang 2.7%.
“ Bandingan KDNK antara negeri-negeri perlu dilihat secara adil berdasarkan 'nature' sesuatu negeri. Terengganu ialah sebuah negeri pertanian. Maka sesungguhnya adalah tak sekufu untuk dibandingkan dengan negeri-negeri industri yang memiliki kemudahan import dan eksport,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan perancangan serta komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memperkasakan rantaian agromakanan dan komoditi tempatan.
Menurut beliau, pertumbuhan mampan ini juga menjadi bukti jelas bahawa sektor pertanian Terengganu berada di landasan yang tepat demi menyokong agenda keterjaminan makanan serta sosioekonomi rakyat.
Kebangkitan berterusan sektor ini disokong rapat oleh pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi di Terengganu. Ini merangkumi pemerkasaan infrastruktur pengairan, transformasi komoditi komersial, pengurusan sumber perikanan lestari, serta penyaluran insentif kebajikan secara berkala bagi meringankan beban kos operasi para petani, penternak, dan nelayan di seluruh negeri.
Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai agensi negeri dan persekutuan demi memastikan momentum pertumbuhan positif ini dapat dikekalkan demi masa depan sektor agromakanan negara.
Tag :