KUALA TERENGGANU, 16 Mac – “Selalunya saya hanya pakai baju lama, tapi kali ini saya dapat pakaian baru,” luah Alya Maizara Wan Saifulizan, 11, dengan wajah penuh keceriaan selepas memilih sendiri busana raya dalam program 'Masih Ada Yang Sayang' anjuran Pertubuhan Skuad Amal Ajil (Amal Care).
Program itu meraikan 100 anak yatim dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dalam usaha membawa kegembiraan kepada mereka menjelang Aidilfitri.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi membeli baju raya serta majlis berbuka puasa bersama sukarelawan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program seperti itu sangat bermakna kerana memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal seperti kanak-kanak lain.
"Kami amat menghargai usaha penganjur yang memastikan anak-anak yatim ini tidak terpinggir dalam menikmati keindahan bulan Ramadan serta kegembiraan menyambut Aidilfitri.
"Kerajaan negeri sentiasa menyokong program kebajikan seperti ini dan menggalakkan lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa program sebegini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan sifat prihatin dan kasih sayang terhadap golongan kurang bernasib baik.
"Kita mahu masyarakat lebih peka terhadap kebajikan anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan. Semangat memberi dan berkongsi amat digalakkan dalam Islam, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," tambahnya.
Jelas Maliaman, pada sebelah pagi, anak-anak yatim ini dibawa ke pasar raya besar Giant dan Mydin Mall untuk memilih sendiri pakaian raya mereka.
Katanya, senyuman jelas terpancar di wajah mereka apabila dapat mengenakan busana baharu di Aidilfitri nanti.
"Seperti Alya Maizara, ramai lagi anak yatim yang teruja kerana dapat merasai pengalaman memilih baju sendiri buat pertama kali. Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Duit Raya.
"Program 'Masih Ada Yang Sayang' DUN Ajil ini mendapat sambutan hangat dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim terus terbela serta memberi mereka kegembiraan menyambut Syawal," ujarnya.