KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengalu-alukan kedatangan skuad Harimau Malaya ke Terengganu bagi aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Ahmad Samsuri menerusi hantaran di media sosial turut mengucapkan selamat datang kepada seluruh peminat bola sepak untuk berkampung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
“Selamat datang peminat dan pemain skuad Harimau Malaya ke bumi Terengganu Darul Iman sempena perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun (Rabu) dan Papua New Gunine pada 20 Jun (Selasa).
“Alhamdulillah, SSMZA, Gong Badak telah terpilih menjadi tempat perlawanan antarabangsa dan ini satu pencapaian bagi negeri kita,” katanya.
Tambah Ahmad Samsuri, usaha kerajaan negeri hari ini membaiki dan membaikpulih stadium ini sejak 2019 akhirnya mendapat pengiktirafan.
“SSMZA menjadi salah satu stadium terbaik yang ada di Malaysia hari ini. Welcome to SSMZA,” katanya. Kedua-dua perlawanan pasukan Malaysia akan berlangsung pada 9 malam bagi memberikan peluang kepada peminat di Pantai Timur menyaksikan aksi pasukan kebangsaan.
Skuad kendalian Kim Pan Gon yang mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada bulan lepas, mencatat kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.
Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi venue keramat skuad Harimau Malaya, tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja penggantian rumput pada masa ini