Jalur Gemilang
Berita :
Selepas Setahun Terputus, Laluan Mengabang Telipot-Batu Rakit Dibuka Hari Ini
Selepas Setahun Terputus, Laluan Mengabang Telipot-Batu Rakit Dibuka Hari Ini
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
102

KUALA TERENGGANU, 15 November – Penantian penduduk dan pengguna jalan raya yang terpaksa berdepan kesukaran akibat laluan terputus lebih setahun akhirnya berakhir apabila Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit (T145) berhampiran Kampung Tanjung dibuka semula kepada orang ramai bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja pembaikan laluan berkenaan telah siap sepenuhnya sekali gus membolehkan pengguna kembali menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa dan selamat.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu mengambil masa berikutan keperluan menjalankan kajian ombak bagi mengenal pasti corak pergerakan serta keadaan ombak di kawasan pantai berkenaan sebelum kaedah pembaikan dan perlindungan yang bersesuaian dilaksanakan.

"Kerja-kerja ini bukan sekadar membaiki jalan yang rosak, tetapi kita perlu memastikan penyelesaian yang dilaksanakan mengambil kira faktor alam sekitar, khususnya keadaan ombak yang menjadi punca utama hakisan di kawasan berkenaan.

"Kita tidak mahu jalan yang dibaiki kembali rosak dalam tempoh singkat. Sebab itu kajian perlu dilakukan supaya kaedah perlindungan yang dibina benar-benar bersesuaian dengan keadaan pantai di situ," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Beliau berkata, selain kerja pemulihan jalan, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan struktur perlindungan pantai bagi mengurangkan impak pukulan ombak, terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira aspek keselamatan serta ketahanan jangka panjang.

"Keutamaan kita bukan hanya memastikan laluan ini boleh digunakan semula, tetapi dalam masa sama mengurangkan risiko kerosakan berulang akibat hakisan pantai.

"Apabila berlaku kerosakan infrastruktur, rakyat yang paling terkesan kerana ia melibatkan urusan harian, perjalanan ke tempat kerja, persekolahan serta aktiviti ekonomi setempat," katanya.
Beliau berharap pembukaan semula laluan sepanjang kira-kira 280 meter itu dapat memberikan manfaat kepada penduduk sekitar selain memudahkan pergerakan pengguna yang sebelum ini terpaksa menggunakan laluan alternatif.

Sebelum ini, laluan berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat hakisan pantai sehingga terputus dan tidak dapat digunakan dengan sempurna.

Walaupun kerja pemulihan sebelum ini dilaporkan hampir mencapai 99 peratus, penyelesaian sepenuhnya memerlukan penelitian terhadap aspek teknikal dan keselamatan sebelum laluan dibuka kepada orang ramai.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan