Senandung Terengganu Berjaya 'Pikat' Hampir 10 Ribu Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Senandung Terengganu, Gema Gemalai Gamelan Melayu berjaya menambat hati lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari berkampung di KTCC Mall, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, berkata program tersebut merupakan acara utama dalam 12 acara ikonik malah menjadi pembuka tirai acara pelancongan dan kebudayaan (COE 2024) negeri.

"Budaya dan manusia berpisah tiada, atas semangat inilah seni, budaya dan warisan menjadi antara lima kluster utama pelancongan yang diberi fokus oleh kerajaan negeri sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri.

"Seiring peredaran waktu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri kembali mengangkat Senandung Terengganu sebagai satu jenama yang akan terus dipopularkan sebagai payung kepada pelbagai pengisian program berkait keseniaan, kebudayaan dan warisan negeri.

"Ini termasuk memperlihatkan keindahan seni muzik Gamelan Melayu yang menjadi lambang kepada pembudayaan masyarakat Melayu kepada pengunjung yang datang ke sini," ujarnya kepada pemberita.

Dalam masa sama, turut diadakan majlis pelancaran Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.

Program yang diadakan di KTCC Mall bermula 19 Januari hingga 20 Januari 2024 itu  mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Perikanan Negeri, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negeri, Lembaga Muzium Negeri, dan pelbagai agensi lain.

Menurutnya, antara segmen yang mendapat perhatian pengunjung adalah Flash Mob Tarian Gamelan Topeng oleh pelajar-pelajar sekolah rendah (40 orang) dan menengah (30 orang).

"Persembahan 10 minit itu menggabungkan tarian dan muzik gamelan dari Tunas Cilik Gamelan SUKTRA yang merupakan salah satu daripada program pengembangan budaya oleh unit Kebudayaan, Tourism Terengganu.

“Antara sekolah yang terlibat dalam program ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, SK Tok Jembal, SK Kubang Ikan, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud dan SMK Kompleks Gong Badak termasuk anak-anak Kakitangan SUKTRA,” ujarnya.

Jelas beliau, mereka merupakan generasi pelapis dan pewaris seni gamelan yang menjadi bukti semakin bertambahnya pembabitan generasi muda untuk sama-sama berganding bahu untuk memelihara khazanah muzik gamelan ini.

Selain itu katanya, terdapat juga pengisian program seperti permainan rakyat, pertandingan mewarna, klinik gamelan, pameran kostum gamelan dan program penggalakan penyu Terengganu.

"Orang ramai turut disajikan dengan demonstrasi kebudayaan, persembahan flash mob gamelan, persembahan kertuk ulu, dikir hulu dan banyak lagi dalam memperkenalkan seni budaya yang terdapat di negeri ini," jelasnya.