Sentul River Cottage Destinasi Pelancongan Terbaru
MARANG, 31 Julai - Awal pembinaan hanya tempat beristirehat keluarga, kini Sentul River Cottage (SRC), Kampung Sentul Patah, di sini menjadi destinasi pelancongan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
SRC milik seorang penduduk yang juga pesara kerajaan, Mohd Yasim Abd Ghani dan ia dibangunkan berkonsepkan nature dan Eco-tourism
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata walaupun SRC milik peribadi, lokasi itu sewajarnya mendapat sokongan pelbagai pihak terutama kerajaan selepas kesungguhan dan komitmen pemiliknya membangunkan kawasan itu.
Katanya, Mohd Yassim sanggup mengeluarkan modal yang besar bagi membina pelbagai fasaliti, antaranya chalet, dorm dan rumah bot, turut disediakan kawasan memancing dan berkayak.
"Pihak kami akan membantu Mohd Yassim untuk terus memajukan kawasan ini, setaraf dengan lokasi pelancongan lain yang ada di Marang.
"Ia bakal menjadi pelengkap kepada destinasi tersohor lain, Pulau Kapas, Pulau Kekabu dan Komuniti Pelancongan Dataran Batu Putih di Jenang," katanya selepas mengadakan lawatan ke SRC, kelmarin
Menurut Ariffin, SRC boleh diperkasakan sebagai salah satu destinasi tarikan pelancongan dan juga untuk merancakkan lagi komuniti pelancongan (CBT) di daerah Marang.
"Sekali gus mampu mengetengahkan produk-produk hiliran pelancongan yang sedia ada di kawasan Sentul Patah seperti pembuatan atap nipah, dodol palas dan juga nisang. Kesemua ini akan dirangkumkan di dalam satu jajaran pelancongan yang dikenali dengan nama Trail Rhu Rendang," katanya
Sementara itu bagi Mohd Yasim, rumah kayu dua bilik yang dibina pada 2008 itu, asalnya mahu menjadi tempat lepak bersama keluarga.
"Namun hasil dorongan keluarga dan penduduk setempat mahu melihat kawasan ini ditambah baik.
"Disebabkan minat mendalam, kawasan itu terus dibangunkan secara berperingkat-peringkat,
"Dengan adanya SRC secara tidak langsung mampu menghidupkan kembali tarikan laluan air yang sedia ada seperti menjalankan perkhidmatan bot persiaran, bot untuk memancing, houseboat dan juga perkhidmatan untuk pergi ke Pulau Kapas," katanya.
Jarak SRC dari bandar kuala Terengganu adalah 35 KM (30 minit) manakala jika dari bandar Marang hanya 4 KM (10 minit).