• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

SG4 Miliki Kekuatan Tersendiri

Alhamdulillah, batu penanda baharu buat SG4 setelah setahun dicetuskan.

Komitmen dan kehadiran ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan anggota badan legislatif menunjukkan kekuatan tersendiri yang dimiliki SG4 dan membuktikan bahawa SG4 adalah sebuah kerjasama rasmi di peringkat kerajaan.

Sekurang-kurangnya dan paling penting, telah digariskan arah, dasar dan strategi yang lebih jelas dan berobjektif sebagai landasan dalam menggerakkan SG4. Pelaksanaan dan keberhasilan sudah pasti adalah natijah yang diharapkan oleh semua.

Memandangkan SG4 ialah sebuah majlis kerjasama melibatkan kerajaan negeri-negeri berbanding platform perkongsian semata-semata, justeru adalah dicadangkan agar pentadbiran SG4 diperkemas dengan :

(1) Fungsi dan kuasa majlis ini dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan di bawahnya ditentukan semunasabahnya supaya tiada pertindanan mahupun percanggahan dengan fungsi dan kuasa kerajaan negeri atau entiti kerajaan.

(2) Setiap cadangan pelan tindakan dirundingkan dengan dan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri-negeri supaya dapat dijamin kesesuaiannya dengan kepentingan dan kemampuan negeri-negeri.

(3) Jawatankuasa pelaksanaan dan penyelarasan ditubuhkan di peringkat negeri-negeri supaya dapat mengurus perancangan, pelaksanaan dan keberhasilan dengan lebih cekap dan berkesan.

(4) Sebuah kumpulan wang dan akaun bank diwujudkan supaya terimaan hasil dan perbelanjaan dapat dipastikan berlaku mengikut cara-cara yang sesuai.

Namun, apa yang lebih penting daripada aspek pentadbiran ini ialah agenda SG4 itu sendiri.

Mohd Eikhwan.

Ringkasnya, SG4 mahu jadikan Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan ini sebagai destinasi pilihan utama untuk 3B - berniaga (to do business / to invest), bekerja (to work) dan bermastautin (to live).

Melihat kepada 'baseline' semasa ini, antara cabarannya :

(1) Jumlah pertubuhan perniagaan di negeri-negeri SG4 pada 2022 hanya 12.6% (152,034) sahaja berbanding seluruh negara (1,204,987) iaitu merosot sebanyak 11.3% berbanding pada 2021 (171,410). Sektor yang paling besar mengalami kemerosotan ialah Perkhidmatan dan Perdagangan Borong & Runcit. Sedangkan, sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi dan indikator penting yang menggambarkan keyakinan pengguna.

(2) Bilangan penduduk bekerja di negeri-negeri SG4 pada 2023 hanya 2.17 juta sahaja iaitu 13.8% berbanding bilangan penduduk bekerja di negara ini (15.8 juta) dan 39.2% berbanding jumlah populasi (5.55 juta). Sebagai 'benchmark', peratusan penduduk bekerja berbanding jumlah populasi di beberapa negeri maju adalah melebihi 45.0%. Setakat ST2 2024, jumlah penganggur di negeri-negeri SG4 ini ialah 72.6 ribu orang iaitu 13.0% daripada 557.8 ribu orang di seluruh negara.

(3) Saiz ekonomi yang masih kecil bernilai hanya RM124 bilion atau 7.9% sumbangan kepada KDNK negara pada tahun 2023. Gaji dan upah penengah bulanan pekerja di negeri-negeri SG4 juga adalah lebih rendah daripada paras nasional iaitu RM2,424 (2022). Indikator ini adalah antara kriteria utama dalam menentukan tahap daya huni sesebuah negeri.

Saya percaya, semua maklumat, pandangan dan cadangan ini sudah pun dipertimbangkan. 

Sekadar berkongsi rasa.

Tahniah kepada badan pemikir kerajaan negeri-negeri atas penganjuran program yang sangat penting ini.

Mohd Eikhwan M. Ali,
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).


Tag: