SG4 Tarik Minat Pelabur Korea, Jepun Dan China

BANGI, 2 September – Syarikat antarabangsa termasuk dari Korea dan Jepun merupakan antara pelabur terawal yang akan melabur dalam syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. di bawah gabungan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, SG4 Group Sdn. Bhd. juga dalam perbincangan untuk membawa masuk pelaburan dari China.

“Syarikat yang ditubuhkan merupakan entiti korporat untuk menyelaras dan membawa masuk pelaburan-pelaburan baharu rentas negeri SG4,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, di sini hari ini.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Tambah Menteri Besar Terengganu itu, pembangunan negeri-negeri Pantai Barat yang menuju ke arah saturasi serta kekangan sumber membuka ruang kepada negeri-negeri SG4 untuk menarik pelaburan berpotensi tinggi kerana masih memiliki zon industri lebih luas dan kos lebih efektif. 

“Entiti korporat ini dimiliki dengan pegangan hak milik yang sama rata setiap negeri dan berkerjasama dengan GLC sedia ada, bagaimanapun hasil akan diagih secara adil (tidak semestinya sama nilai) iaitu mengikut sumber dan lain-lain perkiraan.

“Keberhasilan kerjasama SG4 adalah peningkatan kesejahteraan hidup rakyat menerusi pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan, serta pembangunan lestari yang berimpak tinggi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, entiti korporat SG4 ketika ini masih lagi dalam proses untuk ditentukan dari segi pengurusan syarikat memandangkan ia baru ditubuhkan.


Tag: