'Royalti Bukan Hak Terengganu?, PAN Jangan Jadi Pengkhianat'
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Seramai 178 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) ditugaskan memantau pematuhan peniaga yang menjual barangan harga terkawal di negeri ini berkuat kuasa Isnin sehingga 3 November.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata sebanyak lapan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.
"Senarai barangan adalah daging kambing, biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Menurutnya, antara diberi tumpuan dalam pemeriksaan pematuhan adalah penggunaan tanda harga berwarna merah jambu, pematuhan penentusahan alat timbang sukat, pematuhan harga maksimum runcit dan borong serta keberadaan bekalan.
"Pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini peniaga boleh dikenakan penalti," katanya.