KUALA TERENGGANU, 16 April - Capaian liputan internet mudah alih bagi kawasan berpenduduk di Parlimen Besut telah mencapai 99.93 peratus berdasarkan data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, laporan kemajuan penyediaan kemudahan infrastruktur komunikasi daripada agensi berkenaan dalam meningkatkan capaian internet dan pendigitalan bagi keseluruhan Parlimen Besut sehingga Februari 2025 memperlihatkan terdapat sembilan menara baharu telah siap dibina dan beroperasi, manakala baki satu menara lagi masih dalam pelaksanaan.
"184 stesen pemancar juga telah siap dinaiktaraf selain sambungan fiber optik ke 7,018 premis telah siap dilaksanakan.
"Bagi infrastruktur 5G, sebanyak 12 lokasi telah siap dan beroperasi," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) sentiasa bekerjasama dengan MCMC dalam usaha meningkatkan capaian internet di dalam negeri melalui inisiatif pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang menggunakan dana Kerajaan Persekutuan di bawah Skim Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
"Walau bagaimanapun, kemungkinan capaian liputan internet mudah alih yang kurang baik dialami di beberapa lokasi disebabkan oleh pakej yang dilanggani, peranti telefon yang digunakan dan juga tetapan pada telefon yang digunakan.
"Bagi memastikan masalah berkenaan disalurkan secara terus dan dapat direkodkan bagi tindakan agensi berkaitan.
"Aduan liputan internet yang kurang baik dialami oleh orang ramai perlu disiasat dengan lebih terperinci bagi mengenalpasti punca dan diberi keutamaan dalam perancangan naik taraf perkhidmatan pada masa akan datang," katanya.