Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) milik syarikat berkepentingan kerajaan negeri, TDM Berhad di Batu Burok, Kuala Terengganu dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud berkata,pembukaan hospital pakar yang mula dibina pada 2012 itu bergantung kepada keputusan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
“Permohonan daripada KTS kepada CKAPS telah dibuat pada 21 Jun lalu,” ujarnya.
Roslee (BN-Bukit Besi) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) di mesyuarat kedua penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Syed Azman mengemukakan soalan mengenai bilakah dijangka Pusat Perubatan Baru KTS-Kuala Terengganu Specialist Hospital di Batu Burok akan dibuka dengan rasminya.
Ketika mengulas mengenai masalah mendapan dan wujudnya tumbuhan kulat (fungus) yang semakin merebak di dalam hospital berkenaan bagi menjawab soalan tambahan oleh Syed Azman, Roslee berkata beliau tidak menafikan perkara tersebut dan menyebabkan berlaku kelewatan pembukaan hospital berkenaan yang sepatutnya memulakan operasi pada 2014.
“Oleh kerana dengan beberapa masalah yang dihadapi itu, kita telah membuat beberapa penangguhan, tetapi permasalah-permasalahan ini telah dikenalpasti dan kerajaan negeri akan cuba menyelesaikannya dengan sedaya upaya pada kadar segera,” ujarnya.
Katanya, diharap dengan langkah penyelesaian yang dibuat KTS akan dapat beroperasi awal tahun hadapan serta memberi perkhidmatan yang terbaik di sektor kesihatan dan perubatan negeri .