Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas dalam menguruskan masalah trafik terutama pada musim perayaan, cuti- cuti panjang dan juga pada waktu-waktu puncak.
Katanya, pasukan itu akan beroperasi apabila keadaan trafik di jalan utama di negeri ini berlaku kesesakan teruk.
“Manakala bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri dalam proses menyiapkan projek Jambatan di atas Sungai Terengganu - Pulau Sekati dan projek Jambatan Kampung Jeram Tok Kong- Bukit Guntong, Gemuruh.
“Pada masa sama , kerajaan juga merancang untuk menaik taraf jalan dari Pulau Rusa –menghala Batu Enam dari dua lorong ketika ini kepada empat lorong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) pada hari ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, bagi kerja menaiktaraf jalan Pulau Rusa ke Batu Enam, pihaknya sudah mengangkat cadangan itu untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).