Kerajaan negeri masih menunggu keputusan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) berkaitan persempadanan telaga minyak Bertam sama ada milik Terengganu atau Pahang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri melengah-lengahkan tuntutan ke atas telaga minyak Bertam itu adalah tidak benar sama sekali.
"Persempadanan ini masih sedang diteliti pihak berkaitan, apabila sudah tahu keputusan barulah boleh diteruskan tuntutan royalti, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak pemilikan telaga minyak itu.
"Ikut maklumat yang saya dapat, hasil lima peratus dari Bertam ialah antara RM9 juta hingga RM10 juta. Untuk penerimaan kali pertama, kita telah menerima wang royalti dari kerajaan Persekutuan sebanyak RM550 juta,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azan Ismail (PKR-Bandar) di persidangan kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu,pada hari kedua, hari ini.
Razif turut memberitahu, sepatutnya kita terima RM500 juta seperti yang telah dipersetujui, namun Kementerian Kewangan bagi kita lebih RM50 juta.
“Lebihan itu hasil rundingan dan hubungan baik antara Terengganu dengan Kerajaan Persekutuan, bagaikan juga hubungan ayah dan anak, kalau tak sama haluan susah sikit nak dapat," katanya.
.