'Silap Kata Mundur, Terengganu Negeri Wajib Dikunjungi'
KUALA TERENGGANU, 3 September – Silap besar jika ada pihak mengatakan Terengganu sebagai sebuah negeri yang mundur dan patut diboikot, ujar pelancong dari Selangor.
Sunaini Othman, 54, yang berasal dari Shah Alam berkata, Terengganu merupakan sebuah negeri yang wajib dan berbaloi untuk dikunjungi.
Katanya, negeri pantai timur itu terus menjadi pilihan orang ramai menghabiskan masa bercuti sehingga beberapa lokasi popular dipenuhi pelancong, sepanjang tempoh cuti sekolah berlangsung baru-baru ini.
"Ini merupakan kali kedua saya datang dan kalau boleh nak datang lagi. Bagi saya orang yang mengatakan Terengganu mundur adalah silap, cakap orang yang tak fikir lebih jauh sekadar nak puaskan hati mereka sahaja.
"Bagi saya Terengganu adalah tempat terbaik untuk datang tak kira lah apa orang nak kata sebab bagi saya semua best, rakyat bagus , bersopan santun, peramah dan banyak tempat menarik untuk dilawati,”ujarnya ketika ditemui di Pasar Payang di sini hari ini.
Terdahulu, tinjauan pemberita di beberapa lokasi antaranya di Masjid Kristal, Jeti Pulau Redang, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan banyak lagi lokasi meriah dengan kehadiran pelancong yang mengabadikan kenangan mereka di mercu pelancongan negeri itu.
Sementara itu, pelancong asing dari Singapura, Reid Lim, 36 dan isteri Kit Shan 31 yang berasal Hong Kong berkata, Terengganu memiliki banyak tempat menarik berbanding negeri lain di Malaysia.
Menurut beliau yang kali pertama datang bercuti ke negeri pesisir pantai itu, antara yang digemarinya adalah makanan, cuaca dan masyarakat Malaysia yang peramah dan menerima baik pelancong sepertinya.
"Saya sangat sukakan Terengganu dan ketika datang di sini, saya paling gemar makan nasi dagang dan isteri lebih kepada keropok lekor. Di sini juga ada pelbagai makanan enak yang selalu dianggap pelancong sebagai 'syurga' makanan.Negeri ini bukan hanya ada pantai yang indah tetapi pantai itu juga bersih
“Saya tak tahu apa yang orang lain fikirkan tapi saya sukakan tempat ini bila datang ke Terengganu. Jika ada yang mengatakan Terengganu tidak sesuai untuk bercuti, mungkin ada salah faham sebab segalanya menarik tentang negeri ini, termasuk binaan bangunan... pasti akan datang untuk kali kedua tidak lama lagi," katanya.