Singgah Sahur Di Marang Dekatkan Pemimpin Dengan Rakyat



Program Singgah Sahur anjuran Pemuda Parti Islam Se Malaysia (Pas) Kawasan Marang menjadi platform pemimpin tempatan untuk melihat dan beramah mesra dengan masyarakat setempat.

Ketua Pemuda Pas Marang, Yusuf Abdul Hadi, berkata aktiviti amal itu merupakan sumbangan daripada parti tersebut selain menjadi peluang untuk mendekati masyarakat terutama golongan muda.

"Aktiviti ini adalah acara tahunan kami sepanjang Ramadan. Ia bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 3 pagi. Tahun ini, kami telah mengadakan program ini di semua DUN (Dewan Undangan Negeri) di bawah Parlimen Marang.

"Melaluinya, kami turut mempelawa pemimpin tempatan turut serta supaya mereka dapat mendengar dan memerhati keperluan masyarakat terutama di DUN masing-masing," katanya.

Yusuf berkata, program itu menyasarkan sumbangan makanan untuk bersahur kepada agensi kerajaan dan swasta yang berkerja pada waktu malam serta kelompok anak-anak muda secara santai.

Sebanyak 200 bungkus makanan berjaya diagihkan kepada agensi dan masyarakat di DUN Rhu Rendang menerusi program itu, baru-baru ini.

Tag: