KUALA TERENGGANU, 4 November - Sistem rawatan kumbahan yang akan diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dijangka mampu menyelesaikan masalah longkang busuk di semua restoran dan kedai makan.
Datuk Bandar, Dato' Rosli Latif, memaklumkan sebagai projek permulaan, semua restoran dan kedai makan di Jalan Sultan Zainal Abidin yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara diminta menaik taraf sistem rawatan kumbahan.
"Sistem itu akan diperkenalkan bagi mengelak pelbagai sisa makanan dan kumbahan mengalir ke dalam longkang dan parit sehingga mengeluarkan bau busuk.
"Sistem rawatan kumbahan di semua restoran dan kedai makan itu juga akan diperluaskan di seluruh kawasan pentadbiran MBKT," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, projek berkenaan merupakan antara proses naik taraf di bawah peruntukan RM100 juta bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, yang diumumkan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.
Tambahnya, tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas pengusaha restoran dan kedai makan terutama di tepi jalan yang enggan menggunakan kaedah sistem rawatan kumbahan.
"Setakat ini MBKT sudah melakukan kerja menaik taraf infrastruktur restoran dan kedai makan di tepi jalan termasuk di Batu Burok dan di Teluk Ketapang.
"MBKT juga sedang melakukan kerja menaik taraf serta memindahkan gerai makan di Kampung Tanjung ke muara utara," katanya.
Rosli turut menasihati pengusaha restoran dan kedai makan agar lebih berdisiplin terutama menjaga kebersihan premis masing-masing termasuk tidak menaikkan harga jualan makanan serta minuman.