SKMM Cadang Wujud Pusat Kesejahteraan Siber Atasi Ketagihan Internet



Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) bercadang mewujudkan Pusat Kesejahteraan Siber (Cyber Wellness Centre) berkaitan isu ketagihan internet yang semakin membimbangkan di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, cadangan itu turut merangkumi pembangunan modul-modul intervensi dalam menangani isu ketagihan bermain permainan dalam talian, ketagihan melayari kandungan lucah dalam talian dan sistem sokongan keluarga.

Jelasnya, kajian oleh SKMM bermula sejak tahun 2010 sehingga kini dan melibatkan beberapa fasa bersama pihak akademik daripada universiti-universiti tempatan, iaitu International Medical University dan Heriot-Watt University Malaysia.

"Hasil kajian itu terhadap responden yang mendapati sebahagian besar daripadanya mengalami masalah ketagihan internet malah mengakui mengalami kemurungan yang tinggi sekiranya tidak mempunyai akses kepada internet.

"Daripada 725 responden, 89 peratus ketagih kepada internet 67 peratus menunjuk kepada tahap keresahan dan 32 peratus menunjuk kepada tahap kemurungan ...maknanya memang membimbangkan.

"Buat sementara kita menunggu kewujudan Cyber Wellness Centre, kita sebagai ibu bapa selain dari pihak kerajaan, sama-samalah melihat dan menangani masalah ini kerana ia mungkin berlaku kepada anak kita sendiri tanpa kita sedari, jadi benda ini kita harus ambil berat bersama-sama,"katanya kepada pemberita di Majlis Berkhatan Dan Bertindik Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Sivik Ajil, hari ini.


Tambah Jailani, hasrat penubuhan pusat tersebut masih lagi di peringkat kajian dan perlu melalui perbincangan dengan beberapa pihak berkenaan dan dijangka bakal di buka selewat-lewatnya tahun hadapan.

Menurutnya lagi, pihak SKMM turut bekerjasama dengan beberapa pihak lain dalam melaksanakan program kesedaran awam mengenai penggunaan internet ini.

" Antara contoh termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui program Digital Dakwah, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui program Pembimbing Rakan Sebaya dalam Isu Keselamatan Internet.

"Persatuan Pengakap Malaysia melalui program-program Digital Literacy and Leadership dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara melalui pembangunan modul pendidikan keselamatan keluarga dan anak dalam isu keselamatan internet,"ujar Jailani.

Tag: