• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

SKMM Garis Peraturan Data Diperolehi Syarikat Terkawal

Jailani menandatangani plak perasmian PI1M Di Kampung Kuala Kejir


Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM)menggariskan beberapa peraturan kepada syarikat sebagai pengguna data bagi memastikan perolehan data terkawal.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, syarikat terlibat tidak boleh berkongsi data tanpa tidak mendapat kelulusan daripada pemilik (data subjek)dan ini telah digariskan oleh kementerian melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi.

"Ini termasuklah dua kes terbaru yang melibatkan Lowyat dan Bank CIMB. Saya difahamkan dalam kes Lowyat, kita mendapati bahawa ada beberapa perkara yang dirasakan tidak mendapat persetujuan data subjek dan perkara tersebut kini dalam siasatan.

“Termasuk juga dalam kes Isu kehilangan pita data sokongan CIMB pada 13 November bukan sahaja melibatkan data itu sendiri tetapi fizikalnya turut hilang dalam transit..ia dibawa dalam satu tempat kepada satu tempat lain dan benda ini juga telah diakui oleh pihak CIMB bahawa ada  kelonggaran dalam sistem mereka dan ia telah diambil tindakan yang sewajarnya pihak bank,"kata Jailani kepada pemberita di Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia(PI1M) Kuala Kejir & Tengkawang, di Kuala Kejir ,Hulu Terengganu, hari ini.



Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut meminta agar orang ramai sentiasa berhati-hati dalam menggunakan internet terutamanya media sosial yang memerlukan untuk menyerahkan data peribadi.

Jelasnya, sebagai pengguna tidak perlu menyerahkan data peribadi kita sewenang-wenangnya melainkan ia benar-benar diperlukan untuk sebarang urusan rasmi dengan jabatan atau agensi kerajaan dalam talian.

"Kita juga harus berhati-hati ketika melakukan pembelian dalam talian. Sentiasa semak laman sesawang yang menawarkan produk atau perkhidmatan yang kita ingin beli, sama ada mereka ini boleh ada kredibiliti dan boleh dipercayai...dan pengguna harus klik pautan dengan bijak.

"Jangan kita sewenang-wenang berkongsi... termasuk gambar anak dan kawan yang memudahkan orang ambil dan tularkan, apabila sudah tular maka susahlah untuk kita ambil tindakan,"katanya.

Tegasnya lagi, SKMM sebagai agensi teknikal akan sentiasa membantu agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM)untuk mengesan siapa yang terlibat dalam kebocoran data peribadi bagi menangani jenayah siber.

Tag: