SM Imtiaz Kemaman Juara AAY Terengganu 2019


KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman muncul juara program Sentuhan Harapan Yayasan PETRONAS - All About Youth (AAY 2019), mengalahkan sembilan sekolah lain dari negeri itu.

Projek sekolah tersebut yang dikenali sebagai CO2NCER, sistem pengesan awal kebakaran hutan untuk membantu pasukan Bomba dan Penyelamat, berjaya menambat hati panel hakim dan menewaskan sembilan buah sekolah lain.

Program yang berasaskan pertandingan bermanfaat kepada komuniti dan persekitaran itu bertemakan 'Mengurangkan Pelepasan Karbon untuk Masa Depan yang Lebih Baik' (Reducing Carbon Emissions for a Better Future).

Seramai 200 pelajar Tingkatan 2 dan 4 daripada dari 10 buah sekolah di negeri ini, diberi tempoh tiga bulan bagi membina dan melaksanakan projek kemasyarakatan yang bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon kepada alam sekitar.


Menurut Ketua Pasukan, Ahmad Faris Wajdan, 16, CO2NCER boleh membekalkan maklumat suhu, kadar peratusan asap, kelajuan angin dan koordinat lokasi secara automatik kepada Pasukan Bomba dan
Penyelamat melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

“Kami rasa teruja apabila dinobat sebagai pemenang peringkat negeri. Kemenangan kami adalah hasil daripada sokongan sukarelawan PETRONAS atau buddies, guru-guru serta sekolah.

"Kami telah bekerja keras dalam membina projek ini dan akan terus berusaha sehingga ke peringkat akhir,” tambah beliau.


“Program ini bukan sahaja menyediakan persekitaran yang selamat kepada pelajar untuk meneroka dan bereksperimen, malah ia menggalakkan mereka untuk berfikir tentang suasana di alam sekeliling.

"Projek yang dibina ini adalah hasil keperihatinan mereka kepada kejadian kebakaran hutan yang berlaku di sekeliling mereka,” kata Idrus Ishak, guru pembimbing pasukan pelajar itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata, objektif PETRONAS adalah untuk
menjadikan perubahan iklim atau climate change sebagai subjek perbualan di kalangan pelajar bagi mengasah kemahiran mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif untuk masa depan yang
mampan.

“Kami teruja melihat para pelajar dapat mengaplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
(STEM) dalam menawarkan penyelesaian untuk masa depan yang lebih cerah.

"Dengan sokongan guru-guru dan sukarelawan PETRONAS, pelajar-pelajar ini telah berjaya menjadi inovatif dalam menawarkan penyelesaian praktikal untuk kesejahteraan masyarakat,” kata Lita.

Setiap pasukan dinilai dari segi kreativiti, pelaksanaan dan kelestarian projek, impak kepada komuniti dan persembahan projek.

Lita menambah, Yayasan PETRONAS percaya AAY 2019 akan memberi pelajar kemahiran untuk berfikir secara lateral dan kreatif serta bekerjasama membangunkan keupayaan mereka sebagai pemimpin masa depan.

“AAY juga menyasarkan untuk menggerakkan inovasi sosial dan menyokong sasaran kerajaan untuk
mencapai nisbah 60:40 pengambilan jurusan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)-
Sastera selain matlamat negara mengurangkan pelepasan karbon,” menurut beliau lagi.

Untuk rekod, sejak 2014, AAY telah menjangkau lebih 200 sekolah dan 4,600 pelajar. Lebih daripada 150
sukarelawan PETRONAS atau buddies telah memupuk dan membimbing para peserta, menghasilkan 200 projek kemasyarakatan yang berimpak besar.

Antaranya adalah sistem amaran pengesan banjir, tandas mesra alam dan aplikasi telefon pintar nota sejarah. AAY disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim.

Tag: