KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Kerajaan negeri optimis Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu atau 'Smart Terengganu 2040' akan menjadi rujukan dalam menginspirasikan inisiatif bandar pintar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, 'Smart Terengganu 2040' bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan teknologi dan pelaksanaannya malah turut mengambil kira pendekatan pembangunan pintar yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam semua aspek kehidupan.
Katanya, insiatif bandar pintar itu akan membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggi dari segi teknologi, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
"Selain dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, ia juga akan memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan pelaburan dan inovasi di Malaysia.
"Tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah berjaya menyediakan pelan tindakan bandar pintar di peringkat daerah masing-masing hasil kerjasama erat dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia Terengganu)
"Tiga PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Terengganu Smart City Activation Day 2024 (TSCA 24) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini.
Katanya, Smart Terengganu 2040' adalah langkah penting dalam memacu Terengganu ke arah menjadi negeri yang lebih maju, lestari, dan berdaya saing di peringkat global melalui transformasi bandar pintar dan ekonomi digital.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran TSCA 24, beliau mengharapkan ia dapat menjadi platform terbaik bagi semua pihak berbincang dan mengupas idea-idea baharu berkaitan dengan bandar pintar dan pelaksanaannya di negeri ini.
"Di Terengganu, inisiatif bandar pintar ini adalah selaras dengan hasrat negeri untuk menjadi sebuah negeri ‘technologically- advanced economy and digitally-driven state’ iaitu negeri yang akan dipandu oleh teknologi digital dalam pelbagai aspek yang berbeza disamping menyasarkan pembangunan bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari.
"Ini termasuklah keadilan sosial, kesejahteraan masyarakat, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan yang beretika.
"Hasil komitmen semua pihak, Insya-Allah impian ini akan dapat direalisasikan dan memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya dari segi ekonomi, pendidikan dan pelancongan," katanya.