SMK Bukit Sawa Cipta Sejarah, Juara 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024'

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos- Hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang berjaya membuahkan hasil apabila menjadi juara  dalam 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024' yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berdepan persaingan daripada sekolah-sekolah lain , pasukan  SMK Bukit Sawa  berjaya menarik perhatian juri melalui produk inovasi mereka,  iaitu reka bentuk sayap 'Expandable Wingtip with Winglet' untuk kegunaan pesawat peninjau tanpa pemandu.

Guru pembimbing, Badrul Hisyam Zakaria berkata rekaan tersebut boleh meningkatkan keupayaannya untuk terbang lebih lama di udara dan meningkatkan jarak penerbangan untuk melengkapkan sesuatu misi

“Pasukan kami  menjadi johan peringkat Kebangsaan dalam kategori 'Innovate, Design and Visualise' dalam pertandingan berprestij itu dan  membolehkan SMK Bukit Sawa membawa pulang hadiah wang ringgit bernilai RM1,000 dan trofi. 

"Kemenangan ini adalah bukti kecemerlangan dan keupayaan pelajar dari sekolah kategori luar bandar untuk sama-sama bersaing di peringkat kebangsaan yang diwakili sekolah hebat termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berprestasi Tinggi dari seluruh negara,”ujarnya kepada pemberita.

Menurutnya, sekolah juga memenangi pakej Program Pemerkasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) & TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) berkaitan aero angkasa oleh industri dan institusi pendidikan di sekolah pada sesi pembelajaran tahun 2025.

Inovasi tersebut adalah hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang lagi guru, Noor Azmi Sulaiman yang dimulakan sejak Julai 2024 melalui pertandingan 'My Aero STEM Quest Innovate, Design and Visualise; Wing Design and Wind Tunnel Design'.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SMK Bukit Sawa telah mendapat tajaan daripada Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd sejak tahun 2023 untuk memastikan program pembelajaran STEM dan pendidikan awal aeroangkasa yang berimpak tinggi dapat dijalankan di sekolah tersebut.

Tambahnya, tajaan tersebut membolehkan pihak sekolah pergi lebih jauh dalam program inovasi bagi melahirkan pakar-pakar dalam bidang tersebut.

"Kami teruja dengan kemenangan ini dan berharap agar lebih ramai pihak industri dan korporat dapat menyokong dan menaja program aeroangkasa di peringkat awal pendidikan.

"Usaha ini penting untuk menarik lebih ramai minat pelajar dan seterusnya membolehkan mereka meneroka bidang aeroangkasa negara pada masa akan datang," katanya.