Soopa Doopa Tarikan Baharu Madinah Ramadan

KUALA NERUS, 23 Mac - Ruangan 'Soopa Doopa' menjadi tarikan baharu di Madinah Ramadan pada tahun ini bagi menempatkan anak-anak untuk bermain sekali gus memberi keselesaan ibu bapa untuk bertarawih di sana.

Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah berkata, ia disediakan di satu sudut yang selamat.

"Jadi tidak ada halangan untuk ibu bapa membawa anak-anak ke Masjid Tok Jembal ini dengan menempatkan mereka di ruang bermain yang disediakan ini sebagai alternatif bagi mereka yang ingin melaksanakan solat tarawih.

"Tujuannya adalah untuk menggalak dan mempelbagaikan lagi fungsi masjid dalam memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan rumah Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Madinah Ramadan, di sini kelmarin.

Dalam pada itu mengenai lokasi baharu Madinah Ramadan itu, Zulkhairi berkata ia merupakan satu usaha kerajaan untuk melakukan perubahan serta mengubah suasana.

"Madinah Ramadan dilaksanakan pada tahun ini berbeza berbanding pelaksanaan penganjuran siri-siri yang lalu diadakan di Dataran Baru Burok dan Dataran Jambatan Angkat.

"Pada tahun ini kita beralih dengan mengubah suasana dengan diadakan di masjid dan Masjid Tok Jembal dipilih sebagai tempat dan lokasi induk dalam pelaksanaan Madinah Ramadan bagi tahun 2024.

"Bermatlamat bagi mewujudkan satu suasana kemesraan yang lebih erat lagi antara masyarakat dengan masjid," ujarnya.


Tag: