SPM 2017 : Dyslexia Tidak Halang Izzat Dapat Keputusan Cemerlang
Izzat (paling kiri) bersama tiga lagi pelajar cemerlang SPM 2017 selepas menerima keputusan itu, di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, hari ini. |
Kekurangan diri sebagai pelajar yang mengalami masalah dyslexia tidak menjadi penghalang untuk berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila diumumkan sebagai calon berkeperluan khas (CBK) cemerlang negeri Terengganu 2017.
Bagi Ahmad Izzat Sohame @ Suhaimi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu, kekurangan dirinya tidak pernah membantutkan usahanya untuk meraih kejayaan sebagaimana pelajar normal lain.
Anak ketiga daripada empat beradik kepada pasangan suami isteri, Suhaimi Abdullah,59, seorang pesara telekom dan Norliah Othman, 49, guru pendidikan khas di sekolah yang sama, mempunyai dyslexia iaitu menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal sejak kecil.
Ahmad Izzat berkata, dia tidak menduga akan berjaya mendapat 4A, 2A-, 1B+, 1C+, 1C dan mahu rakan yang senasibnya juga mampu mendapat kejayaan lebih baik sebagai jaminan masa depan.
Jelasnya, proses pembelajaran di dalam kelas adalah sama seperti rakan yang lain dan banyak dibantu oleh rakan-rakan termasuk guru-guru yang tak pernah membezakannya sewaktu pengajaran dan pembelajaran.
"Kat sekolah belajar macam biasa lepas itu saya akan ulangkaji bersama rakan-rakan dan sambung semula bila balik ke rumah dengan bantuan abang.
"Walaupun saya hadapi masalah untuk faham dan ingat dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan sejarah, saya tetap akan cuba dan terus mencuba...dan jika saya masih ada masalah untuk memahami tentang sesuatu mata pelajaran...saya akan hubungi cikgu untuk penjelasan,"kata Ahmad Izzat kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman SPM di pejabat Jabatan Pendidikan Terengganu hari ini.
Katanya lagi untuk mencapai kejayaan pasti ada halangan tetapi dia tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk meneruskan perjuangan dengan sokongan orang-orang yang tersayang.
"Terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa, adik beradik, rakan-rakan dan guru-guru yang mengajar dengan penuh kasih sayang dan memahami masalah yang saya hadapi malah memberi semangat untuk saya kuat hadapi SPM," ujarnya.
Beliau berkata, berita gembira ini adalah hadiah kepada ibu bapanya dan tidak sabar untuk menghubungi mereka yang kini berada di Istanbul, Turki atas urusan kerja bagi berkongsi kejayaan itu.
Ahmad Izzat yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Geomatik turut menasihatkan mereka yang mempunyai masalah sepertinya supaya tidak menjadikannya sebagai halangan untuk berjaya.