lightning-solid
Berita :
SRIDI Jabi, “Adik Bongsu” Baharu Pendidikan Islam Terengganu
SRIDI Jabi, “Adik Bongsu” Baharu Pendidikan Islam Terengganu
Amiirullah Mansor
2 jam yang lepas
39

DUNGUN, 9 Ogos – Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Jabi bakal menjadi “adik bongsu” dalam rangkaian SRIDI di Terengganu apabila dirancang memulakan operasi pada awal tahun 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata pembukaan sekolah baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluaskan akses pendidikan Islam kepada rakyat.

“Insya-Allah, awal Januari tahun depan kita akan menyambut ‘adik bongsu’ dalam keluarga SRIDI kita, iaitu SRIDI Jabi.

“Kita berharap segala persiapan dapat dibuat sebaik mungkin supaya sekolah ini dapat memulakan operasinya sebagaimana yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Sekolah Rendah Islam Darul Iman dan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Rendah Islam Darul Iman Tahun 2026 di Dewan Al-Farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Dungun, semalam.

Terdahulu, sebanyak 12 buah SRIDI telah ditubuhkan dan beroperasi di seluruh Terengganu, selaras dengan usaha kerajaan negeri memperluaskan akses pendidikan Islam berkualiti kepada rakyat.

Daripada jumlah tersebut, empat buah SRIDI kini beroperasi di tapak kekal, manakala lapan lagi masih menggunakan tapak sementara.

Jumlah itu tidak termasuk SRIDI Jabi yang bakal dibuka pada tahun hadapan.

Satiful berkata, kerajaan negeri akan terus bergerak ke arah sasaran satu SRIDI bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu SMIDI bagi setiap daerah.

“Kita akan teruskan sasaran satu SRIDI satu DUN dan satu SMIDI satu daerah. Ini merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pendidikan berteraskan Islam dapat diperluaskan dengan lebih menyeluruh di seluruh Terengganu,” katanya.

Menurut beliau, pertambahan institusi pendidikan itu perlu bergerak seiring dengan penyediaan tenaga pengajar, pengurusan dan prasarana yang mencukupi bagi memastikan kualiti pendidikan terus terpelihara.

“Hasrat kita bukan sekadar menambah bilangan sekolah, tetapi memastikan sekolah yang diwujudkan benar-benar mampu melahirkan generasi yang mempunyai asas akademik, mental, fizikal dan spiritual yang kuat,” katanya.

Beliau berharap pembukaan SRIDI Jabi kelak dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada ibu bapa serta membuka ruang kepada lebih ramai anak Terengganu mengikuti pendidikan berteraskan Islam sejak peringkat sekolah rendah.


Tag :

Artikel Berkaitan