Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
"Saya mewakili seluruh kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu amat berbangga dengan kejayaan yang diperolehi oleh skuad ekuestrian negara khususnya kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di atas kejayaan menjuarai pingat emas dalam acara individu.
“Ini adalah satu kehebatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah skuad ekuestrian negara kerana dapat mencipta sejarah dalam Sukan SEA di bumi Terengganu dan juga Lembah Bidong, hari ini," kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Setiu.
Beliau sebelum itu mengiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada semua pemenang acara kuda lasak di TIEP.
Menurut Ahmad Razif, kejayaan gemilang itu sudah pasti akan memberikan semangat kepada atlet negeri yang lain sekali gus membuktikan Terengganu berupaya meneruskan kesinambungan sebagai pusat kecemerlangan bidang sukan dan juga pendidikan di Malaysia.
Tambahnya, beliau juga amat berbangga kerana sebahagian besar atlet negara yang mewakili sukan SEA ini merupakan atlet dari Terengganu.
"Ini merupakan satu kejayaan yang telah disumbangkan oleh (atlet) negeri kita (kepada negara). Saya berharap dengan kejayaan ini, Malaysia akan menjadi juara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017,"katanya.
Ahmad Razif sebelum itu turut mengucapkan tahniah kepada skuad negara yang dibarisi empat anak Terengganu termasuk Mohammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah dan Mohd Adhwa Embong yang menghadiahkan emas kedua buat Malaysia bagi acara kusa lasak.
Selain itu, beliau juga berbangga dengan pencapaian Mohd Bukhori Razali yang meraih pingat perak untuk negara, selepas ditinggalkan Sultan Mizan dalam acara individu.
Sultan Mizan yang tiba di garisan penamat pada 8.18 pagi dengan catatan masa tiga jam 48 minit dan 38 saat, meleburkan rekod atlet Malaysia yang meraih emas Sukan SEA 2013 Myanmar, Mohd Sulaiman Muda dengan catatan masa enam jam 26 minit.
Seorang lagi atlet ekuestrian negara, Mohd Bulkhari Rozali meraih pingat perak dengan catatan masa 03:48:40 diikuti gangsa, Warit Khuntaraporn dari Thailand (04:16:05).
Emas kedua pula disumbang dalam acara berkumpulan menerusi trio negara Mohammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah dan Mohd Adhwa Embong yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11 jam 31 minit dan 30 saat.
Malaysia mendahului 4 jam 37 minit dan 52 saat di hadapan meninggalkan pasukan Thailand yang membawa pulang pingat perak menerusi Wipawan Pawitayalarp, Kitikorn Nongbeung dan Kanapos Taytaisong.
Sementara pingat gangsa menjadi milik Kemboja dengan catatan masa 16 jam 38 minit 39 saat oleh trio Sovanchandara LY, Sopheaktra Lon dan Visal Phay.