KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 1446H Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Menyambut keberangkatan tiba Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Nara Setia dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof.
Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai RM500 selain hamper barangan keperluan harian bernilai RM250.
Di samping itu, seramai 240 pelajar daripada keluarga miskin dari lapan buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai RM250 setiap seorang termasuk 30 pelajar bagi setiap dua buah madrasah atau pusat pengajian tinggi telah dipilih khas bagi menerima kurniaan yang sama.
Dalam masa sama, YDSM turut memberi kurniaan kepada 300 fakir miskin Wanita bagi persediaan menyambut Aidilfitri yang terdiri dari kalangan pengusaha dan penenun songket yang bernaung dibawah Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ).
YDSM pada kali ini membelanjakan RM277,500 untuk meringankan beban golongan fakir dan pelajar miskin membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.