Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju

KUALA NERUS, 20 Oktober - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa teruja terhadap Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan perkembangan dan kemajuan membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti.  

Sultanah Nur Zahirah yang juga Cancelor UMT bertitah, walaupun masih muda dari segi usia, UMT kini dapat berada sebaris dengan universiti yang lebih berusia. 

“Sebagai sebuah universiti berfokus, UMT telah membina dan mempunyai jenamanya tersendiri. 

“Beta yakin bahawa UMT akan terus melonjak sebagai institusi pendidikan tinggi di peringkat global dan mampu menterjemahkan peranannya yang besar dalam pembinaan modal insan negara,” titah baginda pada upacara Pembukaan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT dan Perisytiharan Pelantikan Pro Canselor di Dewan Sultan Mizan, di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat pada majlis konvokesyen itu.

Baginda bertitah, ahli akademik diharap dapat meningkatkan kualiti akademik dalam aspek pengajaran supaya relevan dengan perkembangan semasa. 

“Ini termasuklah penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang boleh diintegrasikan dalam sektor pendidikan tinggi untuk hasil yang lebih optimum,” titah Sultanah Nur Zahirah.

Dalam pada itu, Sultanah Nur Zahirah turut bertitah agar siswazah UMT meraikan kejayaan pada hari ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri. 

“Hargailah jasa ibu-bapa dan para pensyarah yang telah banyak berkorban demi kejayaan anda.   

“Teruskan usaha meneroka lautan ilmu tanpa henti. Sikap segelintir pihak dalam masyarakat yang mempersoalkan kepentingan pendidikan tinggi perlu dihentikan. 

“Pendidikan adalah satu proses pemugaran manusiawi yang mempunyai elemen budi dan bakti. Ia bukanlah bersifat jual-beli kerana ia mempunyai hikmah yang membangunkan pemikiran dan sahsiah peribadi,” titah baginda.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT menyaksikan seramai 2,775 graduan  diraikan dalam enam sesi yang bermula hari ini hingga Selasa.