Sungai Kelemin Tarikan Baru Bukit Besi
Ghazali Sulaiman meninjau Sungai Kelemin di Kampung Talong. |
Oleh: Adli Mohamad
Banyak tempat menarik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi yang boleh dilawati dan mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan mahupun luar negara.
Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, terdapat sungai yang cantik dan berpotensi dibangunkan sebagai tempat perkelahan yang menarik di Bukit Besi.
"Ianya berpotensi menjadi tempat pelancongan terkemuka di Terengganu.
"Antaranya Sungai Kelemin di Kampung Talong yang sesuai dijadikan tempat untuk berkelah bersama keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu lawatan ke Kampung Talong, pada 9 Ogos.
"Airnya cetek, memang sesuai dan kurang berbahaya," ujarnya.
Menurutnya, bagi memajukan kawasan perkelahan itu, beberapa usaha harus dijalankan.
Antarnya termasuklah membaik pulih surau, tempat persalinan pakaian, tempat laluan pejalan kaki dan beberapa infrastruktur lain bagi memudahkan pelancong ke tempat tersebut.
"Saya optimis, kawasan ini mampu menjadi daya tarikan pelancong bukan sahaja kepada penduduk setempat malah pelancong dari luar negara.
"Air sungainya yang jernih dan tidak tercemar pasti akan menjadi tarikan utama," katanya.
Tambahnya, di antara faktor yang menyakinkan tempat perkelahan itu akan berjaya menarik kehadiran ramai pelancong adalah kerana permukaan airnya yang landai, sungainya yang panjang dan tidak dalam boleh diterokai dengan berjalan di dalam air sehingga ke Sungai Belia yang bersambung dengannya.
"Kawasan perkelahan itu akan dipastikan patuh syariah, dan akan mesra ibadah di mana pengunjung akan menikmati kemudahan surau yang akan dibaik pulih selain berdekatan masjid di seberang sungai," ujarnya.