Surau Bujal Akhirnya Terima Bekalan Elektrik TNB Setelah 20 Tahun Menanti

KEMAMAN, 26 Mac – Selepas 20 tahun menanti, Surau Bujal, yang dahulunya sebuah masjid, akhirnya menerima bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata sebelum ini surau tersebut hanya bergantung kepada sumber elektrik sementara yang dibekalkan oleh kontraktor. 

“Proses permohonan meter TNB telah mengalami kelewatan akibat beberapa masalah teknikal, namun kini isu tersebut telah diselesaikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Asnaf TNB Berhad bertempat di Surau Bujal, Kampung Payoh di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor.

Razali berkata, dalam pertemuan bersama wakil TNB, beliau mencadangkan agar bekalan elektrik tidak hanya diberikan kepada surau, tetapi juga kepada seluruh kediaman di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bujal.

“Ketika ini, bekalan elektrik sudah tersedia, namun kapasitinya masih belum mencukupi untuk menampung pertambahan kediaman di kawasan tersebut.

“Bagi mengatasi masalah ini, sebuah sub stesen TNB baharu akan dibina dalam masa terdekat bagi memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan mencukupi untuk keperluan penduduk di RTB Bujal," ujarnya.

 


Tag: