Surau, Hentian Rehat Gantikan Masjid Lama di Jeti Pulau Redang

KUALA NERUS, 25 Jun – Masjid lama terbiar di Jeti Utama Pulau Redang akan dinaik taraf menjadi sebuah surau dan hentian rehat yang selesa untuk kegunaan penduduk setempat dan para pelancong.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, menjelaskan bahawa tapak masjid lama itu telah lama dibiarkan tanpa penggunaan.

“Tapak lama itu sepatutnya dikekalkan sebagai surau atau tempat sembahyang sahaja, tetapi oleh kerana peraturan, kita tutup dan suruh robohkan yang asalnya.

“Namun, pihak yang berkenaan tidak merobohkan, jadi tapak itu terpaksa dibiarkan begitu sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena lawatan rasmi bersama Exco Pelancongan, Datuk Razali Idris ke Pulau Redang di sini semalam 

Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ M Rozi Bidin, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.

Shaikh Harun berkata pihaknya sedang merangka peruntukan yang diperlukan dengan pihak-pihak tertentu bagi projek berkenaan.

“Fasa pertama kita akan selesaikan bilik air, tempat duduk terlebih dahulu kemudian baru pembinaan surau.

 “Surau tersebut tidak akan dijadikan tempat tidur. Jika mahu tidur, mereka perlu mencari chalet, hotel atau rumah penginapan,” tambahnya.

Menurutnya, projek itu bertujuan bagi memenuhi keperluan ibadat penduduk setempat dan pelancong serta mempromosikan Pulau Redang sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

“Kita mahu memastikan surau-surau di tempat pelancongan tidak kosong dan tidak terabai, supaya masyarakat dapat menunaikan solat dengan tenang dan selamat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, perancangan awal melibatkan pembinaan ruang sembahyang yang boleh menampung 20 hingga 30 orang, dengan konsep surau terbuka yang boleh diakses pada bila-bila masa.

“Dengan kerjasama Datuk Bandar dan pihak-pihak berkepentingan lain, MAIDAM berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Sekali gus, menjadikan Pulau Redang contoh terbaik bagi negeri-negeri lain dalam menyediakan kemudahan ibadat yang lengkap dan selesa di destinasi pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Redang, Maaruf Ismail melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas kesudian pihak kerajaan negeri untuk menaik taraf masjid yang sudah lama terbiar.

"Perkara ini dapat melegakan hati penduduk kampung dan saya sendiri. Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan secepat yang mungkin," ujarnya.

 


Tag: