Tabung Darah HSNZ Pelawa Orang Awam Terus Menderma Darah

KUALA TERENGGANU, 21 Mac- Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mempelawa orang awam termasuk umat Islam yang menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan agar terus menderma darah.

Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Roslina Remli, berkata ia penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan darah.

Menurutnya, Unit Transfusi Darah HSNZ menyasarkan dapat mengutip antara 1,000 hingga 1,500 beg darah sepanjang Ramadan melalui program menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

“Setakat ini pihak kami telah berjaya mengumpul sebanyak 314 beg darah sejak 1 Ramadan lepas.

“Antara lokasi yang terlibat dengan program menderma darah ini ialah Masjid Gong Tok Nasek di sini, Masjid Sultan Ismail (Chendering), Masjid Tengku Tengah Zaharah (Kuala Ibai) dan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak.

“Kami berharap lebih ramai individu terutama golongan belia dan pelajar akan tampil untuk menderma darah di masjid-masjid terpilih yang telah dirancang sepanjang Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Abidin di sini.

Sementara itu, sepanjang program berlangsung  di masjid tersebut, seramai 42 orang penderma darah telah hadir pada program berkenaan yang bermula selepas solat sunat tarawih dan pendaftaran penderma ditutup pada jam 11.30 malam.

Seorang guru, Norhuda Ismail, 55 berkata, ini adalah pengalaman kali keduanya untuk menderma darah pada bulan Ramadan setelah kali pertama melakukannya pada Ramadan tahun lepas.

Katanya sebagai guru yang padat dengan jadual tugasan, peluang untuk berbakti sentiasa dinantikan walaupun di bulan Ramadan dan ia bukan satu penghalang untuk terus menderma darah bagi memastikan stok sentiasa stabil kerana satu beg darah dapat menyelamatkan nyawa tiga orang

"Alhamdulillah, selepas selesai solat sunat Tarawih tadi, saya terus mendaftar dan lega apabila dapat menyumbang satu beg darah untuk pesakit yang memerlukan.

"Usaha Unit Transfusi Darah HSNZ ini sangat bagus kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma darah di masjid pada sebelah malam memandangkan umat Islam berpuasa pada sebelah siang,"ujarnya.