Taman Kucing Destinasi Pelancongan Baharu
DUNGUN, 14 April - Taman Kucing yang terletak di Bukit Bauk, Dungun bakal menjadi tarikan baharu pelancong untuk datang ke daerah dan negeri ini.
Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli memuji usaha murni Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengumpulkan kucing-kucing jalanan yang ditemui di pasar, kedai makan dan tempat-tempat awam di Bandar Dungun sehingga berjaya mewujudkan Taman Kucing.
"Saya dimaklumkan oleh pihak MPD, taman ini telah beroperasi sepenuhnya bermula 2 November 2020 dengan menempatkan 30 ekor kucing dan alhamdulillah kini terdapat peningkatan menjadikan 90 ekor," ujarnya.
Ustaz Wan Hassan berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Taman Kucing di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat.
Taman itu turut dilengkapi dengan ruang Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Wad Rawatan Ibu dan Anak dan Wad Keluarga Bahagia serta beberapa ruang lagi.
Direktori Dungun yang akan menjadi rujukan pengunjung turut dilancarkan dalam majlis tersebut.
Ujar Wan Hassan, beliau menghargai usaha penyumbang-penyumbang yang membantu MPD menyelenggara taman tersebut.
"Dengan sumbangan ini, kita mencari kebaikan, dengan adanya pusat jagaan ini, insya-Allah, Allah Subhanahu Wa Ta'ala berjanji, rezeki kita tetap ada jika kita sentiasa membantu, (rezeki) untuk kesihatan kita, untuk kemudahan urusan kita," jelasnya. - Foto Oleh : Amirullah Mansor dan Mohd Afiq Fahmi