KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Hujan lebat mencecah 1,000 milimeter dan aliran puing menjadi punca berlakunya banjir serta kegelinciran tanah di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir pada Ahad lalu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu kelmarin mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian seperti didakwa segelintir pihak.
"Siasatan pada 1 Mac di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan terbabit membuktikan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana berlaku di kawasan cerun sungai tersebut.
"Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris (serpihan) dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing.
“Ini disebabkan faktor hujan lebat yang turun selama lima hari berturut-turut bermula 23 hingga 27 Februari yang mencecah 1,000 mm,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Samsuri menjelaskan, geliciran tanah dianggarkan bersaiz 100 meter panjang, 50 meter lebar dan tebal antara 5 hingga 10 meter.
"Aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu pula ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang.
“Mesyuarat penyelarasan pasca bencana telah dijalankan dan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kayu sedang giat dilakukan. Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa juga dijalankan bagi mengawasi keadaan,” katanya.
Terdahulu beliau memaklumkan, jumlah kerugian runtuhan yang berlaku di beberapa tempat di sepanjang laluan Kenyir sehingga ke Kuala Berang itu belum ditaksirkan lagi.