Tasik Bungkus Bakal Dikenali Kawasan Tanaman Buluh Lemang
KEMAMAN, 29 Mac - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Tasik Bungkus di Kijal, sebagai kawasan untuk dibangunkan industri penanaman buluh dalam usaha memastikan ia dapat menampung keperluan pembuatan lemang yang begitu sinonim dan popular di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali berkata, buluh lemang itu akan diusahakan di atas tanah berkeluasan 150 ekar dan akan bermula tahun hadapan.
"Sekarang ini kita cuba cari benih yang sesuai dan berkualiti serta boleh diambil dengan cepat untuk dijadikan lemang.
"Dengan adanya usaha ini nanti ini saya jangka masalah kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang dihadapi oleh pengusaha tidak akan berlaku lagi," ujarnynya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Peluncuran Kiosk Lemamg Kijal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut , Razali berkata sebelum ini pihaknya menyedari masalah yang berlaku di kalangan pengusaha lemang di daerah ini adalah disebabkan kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang menerima permintaan begitu tinggi terutamanya menjelang perayaan.
"Kesan kekurangan buluh lemang ini menyebabkan beberapa pengusaha tidak boleh lagi berniaga bukan kerana tidak laku tetapi kerana ketiadaan bahan tersebut.
"Oleh itu, perkara ini dianggap serius dan kerajaan telah meneliti dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan mulakan projek ini," jelas beliau.