• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

TDM Mahu Perkenal Hospital Mesra Ibadah

KUALA TERENGGANU, 20 Jun -  Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) berhasrat untuk memperkenalkan program baharu di masa akan datang sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) iaitu 'Pengenalan Hospital Mesra Ibadah'.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia akan dilangsungkan di KMI Kuala Terengganu Medical Centre dengan menyasarkan penyertaan seramai 40 pelajar Universiti Zainal Abidin (UniSZA) dalam pengajian perubatan dan kontemporari Islam selain orang awam.

Katanya, pihaknya berkolaborasi dengan HRD Corp mengadakan program NTW bagi memperkasakan kemahiran kalangan dalam rakyat untuk memenuhi keperluan semasa.

"'TDM's Knowledge Sharing Carnival : NTW24's 5 Pillars' merupakan tema yang kami ketengahkan untuk menjayakan lima teras utama iaitu Kemahiran Hidup (Teras 1), Kemahiran Masa Depan (Teras 2), Kreativiti dan Inovasi (Teras 3), Kewangan (Teras 4) dan Pembangunan Mampan (Teras 5).

"Alhamdulillah, program ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan industri yang bersama-sama menggembleng tenaga bersama kami dan HRD Corp," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival NTW 2024 Edisi Pantai Timur, di Dewan Auditorium, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.

Majlis perasmian karnival berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Husaimi Hussin.

Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia itu, Najman berkata ia diadakan di seluruh negara dengan menawarkan 25,000 kursus dengan sasaran kemasukan 200,000 peserta.

"Hari ini untuk teras 3, TDM telah membawa 150 pelajar-pelajar sekolah rendah bersama guru pengiring dari ladang kami di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman serta jemputan khas dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu dan Ladang.

"Selain itu dua hari lepas kami mengadakan seminar khas ' Intergrated Pest Management in Oil Palm Plantation' bagi teras 5 bertempat di Akademi TDM, Sungai Tong.

"Seminar perkongsian ilmi ini melibatkan penyertaan seramai lebih 50 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pekebun-pekebun kecil dan industri perladangan yang lain sekitar Sungai Tong," ujarnya.