KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) menyantuni 200 orang asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat DUN Bukit Besi di Dewan Sivik Jerangau Sungai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM telah memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk agihan kepada 200 asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melalui kerjasama strategik antara TDM dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi.
"Program ini adalah manifestasi hasrat kami untuk bersama-sama membangunkan komuniti, khususnya di Bukit Besi, ke arah masa depan yang lebih berkat.
"Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan dan impak positif yang dapat kami kongsi kepada masyarakat," katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi; Ghazali Sulaiman, Pegawai MAIDAM Daerah Zon Selatan; Hamidah Abd Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd; Hamdan Ibrahim.
Tambah beliau, program itu juga merupakan sebahagian daripada usaha syarikat dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan.
"Sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan pembangunan mampan, inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
"Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Mampan, yang bertujuan memastikan kawasan penempatan dan komuniti menjadi lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.
"TDM menyokong matlamat ini demi memperkukuh kesejahteraan komuniti..
"Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat.
"Program ini adalah salah satu cara untuk kami memahami keperluan komuniti dan memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat jangka panjang," tambah Najman.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk memperluaskan inisiatif yang sama ke kawasan-kawasan lain di Terengganu bagi memastikan lebih ramai golongan mendapat manfaat daripada program seumpama itu.