Kerajaan Terengganu, Giant Lancar 'Jom Sedekah' Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 29 Januari – Kerajaan negeri Terengganu telah memperkenalkan dasar baharu bagi pajakan tanah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan mengurangkan tempoh pajakan daripada 21 tahun kepada hanya 3 tahun.
Langkah ini bertujuan memastikan tanah pertanian dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terbiar tanpa dimajukan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, peserta yang menerima pajakan kini dikehendaki memasuki tapak dalam tempoh tiga bulan selepas perjanjian ditandatangani.
Katanya, sekiranya gagal, peserta lain akan menggantikan mereka bagi memastikan tanah tidak terbengkalai.
“Buat apa bagi tempoh lama atas kertas, tetapi di lapangan tanah penuh semak samun?
“Kalau berjaya, kita sambung lagi, kalau gagal, kita beri peluang kepada yang lebih berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kadar sewa tanah TKPM di Terengganu adalah paling murah di Malaysia, hanya RM250 setahun bagi setiap hektar.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan pertanian dan sistem saliran bagi memastikan tanah yang diwartakan sebagai TKPM dapat dimajukan sepenuhnya.
“Prinsip kerja yang paling asas ialah kenali punca sesuatu permasalahan dan selesaikan isu dari puncanya. Maka inilah yang kita telah buat. Cari peruntukan dan bangunkan infrastruktur.
“Kemudian masukkan peserta yang memenuhi kriteria dan mampu berdaya saing," tambahnya.