Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu yang dibuka untuk percubaan pada 2 Jun lalu, telah ditutup tengah malam semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya berkata, laluan jambatan itu akan ditutup dengan kon dan semua kenderaan tidak lagi dibenarkan melaluinya.
“Apabila ditutup nanti kita akan tengok balik apa yang boleh dinaik taraf untuk keselesaan pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Beliau berkata, setakat ini tarikh pembukaan jambatan tersebut secara rasmi belum ditetapkan lagi.
Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat.
Jambatan bernilai RM248 juta itu adalah yang keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.
Jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.
Setelah tamat pengujian sistem, jambatan angkat akan ditutup semula mulai tengah malam ini bagi tujuan pentauliahan komponen lain projek itu.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama rasmi jambatan itu baharu itu akan diumumkan ketika ia dibuka secara rasmi kelak.
SUMBER: BERNAMA