KUALA NERUS, 16 November - Program Tanam Buluh@KPTMI di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail hari ini menyerlahkan iltizam Pergerakan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu dalam memupuk nilai kelestarian alam.
DYTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa penanaman buluh membawa makna lebih besar daripada sekadar menanam pokok.

Menurut Baginda, buluh dipilih kerana ia melambangkan kekuatan, ketahanan dan kelenturan - sifat yang wajar ada dalam diri setiap pengakap.
"Buluh dipilih sebagai simbol kekuatan, ketahanan dan kelenturan nilai yang sangat dekat dengan semangat pengakap.
"Beta percaya sifat-sifat ini perlu diterapkan dalam diri setiap pengakap agar mampu menghadapi cabaran di depan dengan tabah dan berjiwa besar.
“Perkara seperti ini bukan sekadar menanam pokok, tetapi menanam nilai tanggungjawab, disiplin dan kasih terhadap alam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titahnya di Dewan KoLek 2, The Payang Scout Hotel Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini, pagi tadi.

Mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Samsuri Mokhtar.
Program anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu siri kedua itu turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah yang bersama-sama menanam lebih 100 anak pokok buluh.
Sebagai simbolik, baginda Tengku Muhammad Ismail berkenan menyempurnakan program dengan mananam anak pokok buluh bersama Dr. Samsuri sebelum disusuli oleh ahli pengakap yang menyertai program tersebut.

Usaha melestarikan alam pagi itu tadi turut menjadi sebagai sebahagian usaha memperindah kawasan kem dengan tanaman hijau.