Terengganu Agih Insentif Khas Untuk Faizal


Kerajaan negeri bakal menyediakan insentif khas kepada Mohd Faizal Hafiz Adnan, 12, kerana semangat juang dan ketabahannya sehingga mampu meraih kemenangan dengan cara luar biasa dalam Kejohanan Merentas Desa Bawah 12 Tahun Peringkat Kebangsaan di Taman Botani Negara Shah Alam baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kisah pelajar dari Kampung Pantai Tukang Perahu di Seberang Marang, terpaksa merangkak akibat kekejangan otot dan terjatuh beberapa meter dari garisan penamat, namun berjaya muncul sebagai naib johan menjadi viral di media sosial.

“Dengan kecekalannya itu, kita akan menyediakan satu insentif khas sebagai menghargai usaha yang telah dilakukan sehingga mengharumkan nama negeri dan juga sekolahnya.

“Semangat juang dan ketabahan adik Faizal menyentuh hati saya kerana sanggup meneruskan larian sehingga merangkak walaupun kekejangan otot, untuk tidak menghampakan pasukannya (Terengganu),”katanya di Majlis penyampaian bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M), di Dewan Serbaguna Pak Tijah, Tok Jembal, Kuala Nerus,  hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina zakaria.



Di majlis itu, seramai 261 penduduk dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tok Jembal menerima BR1M masing-masing. 

Selain itu juga, 22 bayi yang lahir sepanjang tahun lalu dari PDM yang sama turut menerima saguhati kelahiran berupa kad Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM100 seorang menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK)

Dalam pada itu, Menteri Besar juga mahu setiap PDM di Dewan Undangan Negeri Seberang Takir menyediakan perkhidmatan kaunter yang menghimpunkan semua agensi pengurusan bantuan kepada rakyat, setiap dua minggu sekali. 

Antara agensi dan jabatan terlibat seperti Yayasan Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan,  Sekretariat Tabung Darul Iman, YPK, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, KPWKM dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus.

"Ini memberi kemudahan kepada rakyat dan golongan sasar untuk berurusan dan menyelesaikan permasalahan mereka di satu pusat sehenti,"katanya.



Tag: