KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Terengganu mengajak anak muda untuk menceburi sektor agromakanan sekali gus mengangkat negeri terbabit sebagai pelopor utama pengeluar makanan.
Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menggalakkan lagi penyertaan bakat muda dalam sektor agromakanan pelbagai usaha terkini akan dilaksanakan seiring dengan era revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dunia hari ini.
Katanya, antara perkara yang bakal dilakukan kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali.
"Serta penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan infrastruktur (dan) di samping itu, ke arah membangunkan pertanian berskala industri, beberapa anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu dan TADC juga mengerakkan usaha melibatkan pemain industri dan para pelabur.
"Untuk perkongsian sumber dan kepakaran antaranya bagi memajukan projek penanaman cili, pembangunan ladang kelapa dan projek agrivoltaic," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ketika membentangkan belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri ini kerajaan negeri akan membuka kawasan baharu bagi memperluaskan lagi kawasan untuk bertanam.
"Melibatkan tanah terbiar serta membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di setiap daerah selain turut memperkukuh program pertanian komuniti di samping menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di kawasan sawah padi.
"Bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) pengeluaran beras," katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Ahmad Samsuri berkata, sektor pertanian pada tahun 2023 telah kembali memulih kepada 7.4 peratus berbanding pengucupan 3.3 peratus pada tahun 2022.
"Didorong oleh peningkatan yang signifikan dalam subsektor tanaman iaitu buah-buahan dan sayuran serta subsektor perikanan.
"Pencapaian ini menjadi bukti keberhasilan Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2019-2023," jelasnya.