Terengganu Akur Jika Sempadan Negeri Ditutup
MARANG, 15 Februari - Kerajaan Terengganu akur jika sempadan negeri untuk aktiviti pelancongan ditutup susulan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun ia akan menjejaskan sektor pelancongan yang kembali rancak dan pulih dengan kehadiran ramai pelancong ke negeri ini, keselamatan rakyat tetap menjadi keutamaan pihaknya.
"Tetapi saya yakin dan percaya perkara itu tidak akan berlaku, kerajaan tidak akan mengambil langkah-langkah berkenaan, maknanya sektor pelancongan akan boleh diteruskan seperti biasa paling utama pelancong yang hadir perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerjaan.
"Seandainya berlaku juga, kita akan berbincang untuk membantu pengusaha pelancongan yang terkesan sebagaimana inisiatif yang pernah diwujudkan pada sebelum ini iaitu Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bagi sektor ini.
"Tetapi perkara ini tidak dibincangkan lagi, sebab ia masih belum berlaku serta saya berkeyakinan tidak akan berlaku sekatan ekonomi sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian, Paya Kolam, di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Ketom, di sini, pada hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin berkata sektor pelancongan di negeri ini sangat memberansangkan pada waktu ini, dengan kehadiran pelancong yang ramai berkunjung ke negeri ini terutama pada hari minggu.
"Boleh dikatakan semakin meningkat, semua hotel penuh, jalan raya penuh sesak dengan pengunjung yang ramai berpusu-pusu ke negeri ini dapat kita lihat setiap kali pada hujung minggu Pasar payang, Batu Burok, Drawbridge, Taman Tamadun Islam (TTI) juga muzium dipenuhi orang ramai.
"Di Terengganu ini selain tempat pelancongannya menarik ia juga turut menjadi pilihan orang ramai untuk berkunjung kerana makanannya, boleh dikatakan Nasi Dagang Atas Tol antara tempat makan yang menjadi tumpuan.
"Kalau kita tengok pada Jumaat, Sabtu dan Ahad pelanggan beratur penuh. Itu membuktikan Terengganu sentiasa menjadi pilihan utama rakyat di negara ini untuk datang melancong," ujarnya lagi.