KUALA TERENGGANU, 7 November - Kerajaan Terengganu sedang mengorak langkah bagi membangunkan industri hidrogen hijau yang mampu menjadi sumber pendapatan baharu negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa usaha sedang digarap termasuk perbincangan bersama pakar dari Korea Selatan dalam bidang terbabit.
Katanya, langkah tersebut akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat Terengganu di masa depan.
"Kerajaan Terengganu juga telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Sarawak yang melaksanakan inisiatif penyimpanan karbon serta ekonomi berasaskan hidrogen.
“Isi perbincangan tersebut adalah berkaitan dengan ‘Initiative Towards Green Economy in Sarawak – Hydrogen Roadmap'," jelasnya.
Ahmad Samsuri berkata demikian di laman Facebook rasminya selepas bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari di Petrajaya, Kuching, Sarawak semalam.
Ujar Ahmad Samsuri, perbincangan itu adalah lanjutan daripada pembentangan Primier Sarawak pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang di pengerusikan oleh Perdana Menteri pada minggu lepas.
“Perbincangan itu adalah bagi mengetahui bagaimana Negeri Terengganu dapat sama-sama menerokai ekonomi baharu ini dan membentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara Terengganu dan Sarawak.
"Insya-Allah negeri ini sedang bergerak ke arah ekonomi hijau yang akan mendatangkan manfaat kepada negeri dan rakyat Terengganu.