Terengganu Bangunkan Semula Strawberry Park Terbiar

KEMAMAN, 10 Ogos – Pusat peranginan terkenal yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu, Strawberry Park, Kijal bakal berubah wajah menjadi sebuah resort lima bintang selepas perjanjian membangunkan projek itu dimeterai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek itu akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026.

Katanya, ketika ini kerja-kerja kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang dilaksanakan.

"Penjenamaan semula fasiliti resort yang berkeluasan lebih lapan hektar itu dilakukan oleh kerajaan negeri menerusi Terengganu Inc dengan kerjasama pemilik tapak iaitu Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

“Projek bernilai RM150 juta itu akan dibangunkan oleh syarikat pembangunan hartanah dan hotel iaitu iKHASAS Land Sdn Bhd dan pengoperasian resort oleh Courtyard by Marriot.

“Insya-Allah, apabila siap nanti, resort ini akan dilengkapi 10 blok dan 220 bilik jenis bilik premium dan pelbagai ‘suite’ berlatar belakang laguna yang sangat cantik," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Semula Strawberry Park, Kijal bertempat di Hotel World Kijal semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, resort tersebut juga akan dilengkapi dua ruang makan, bilik mesyuarat berkapasiti 200 orang dan pelbagai kelengkapan lain seperti spa, ruang rekreasi air serta trek hutan.

Menurutnya, resort baharu itu dijangka menjadi pilihan bagi urusan perniagaan dan percutian mewah sekali gus dapat mempromosikan Terengganu sebagai destinasi teko-pelancongan.

“Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah.

“Hasrat kerajaan negeri terdahulu untuk menjadikan resort itu juga sebagai institut jantung negara tidak berjaya dilaksanakan menyebabkan resort tersebut terbengkalai,” ujarnya.

Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyaksikan dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan projek di atas tanah milik LTAWNT yang ditandatangani Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulkifli Ali dan iKHASAS Land Sdn diwakili Pengarah Utusan Kumpulannya, Ir Tan Chee Kian. 

MoU kedua mengenai kerjasama projek ditandatangani Pengarah Eksekutif Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan Tan Chee Kian.

 

 


Tag: