Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024

KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, menyatakan bahawa sambutan terhadap pelancong yang datang ke negeri ini tahun ini adalah amat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, pada tahun ini kita berjaya melepasi sasaran awal, yang pada mulanya dijangka sebanyak 3.5 juta, kini mencatatkan lebih 7.8 juta pelancong.

"Namun, untuk sasaran tahun depan, kami masih belum menetapkan angka pasti kerana kami sedang menguji satu formula baru yang dijangka memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KTBM) 2024/2025 di Mayang Mall, semalam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
 
Dalam pada itu, Razali turut mengumumkan bahawa pihaknya akan merangka formula baharu untuk mengukur pulangan pelaburan (ROI) daripada kehadiran pelancong.

Katanya, ia termasuk menilai perbelanjaan mereka, serta mengenal pasti latar belakang demografik pengunjung, sama ada daripada golongan berpendapatan tinggi atau rendah.

“Kami sedang mencari kaedah baru untuk menilai ROI berdasarkan kehadiran pelancong sebanyak 7.8 juta.

"Kami ingin melihat berapa banyak yang dibelanjakan, dan mengetahui jenis pelancong yang datang ke sini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa semua program pelancongan akan dikendalikan oleh pegawai daerah tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.

Menurutnya lagi, setiap program di daerah-daerah yang berkenaan akan dipantau oleh pegawai daerahnya sebagai 'person in charge'.

"Setiap program utama dan acara kecil yang dianjurkan di daerah akan diuruskan oleh pegawai daerah masing-masing," katanya.

Tambah beliau, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Terengganu adalah penganjuran acara-acara bermusim di setiap daerah.

"Sebagai contoh, Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 baru-baru ini berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

"Walaupun beberapa program baharu belum dimasukkan dalam senarai acara pelancongan 2025, acara-acara bermusim yang mendapat sambutan hangat pada tahun 2024 dijangka akan diteruskan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahun depan, sebagai usaha untuk terus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini," katanya.